Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 28)]: Allah... Tunjukkan Aku Jalan!

Assalamualaikum...


"RANIA!"
"Rania!"

Orang yang dipanggil berpaling. Tersentak dia. Seraut wajah yang selalu berbayang di matanya tegak memandangnya tidak jauh dari tempat dia berdiri.

Wajah orang yang memanggilnya rusuh. Dalam rusuh lelaki itu masih mampu menghulur sejalur senyum kelat.


Rania kaku di atas lantai bumi yang dipijak, di sisi kereta yang hampir saja tubuhnya menyusup ke dalam. Rania tidak jadi membuka pintu kereta. Tubuhnya dipusingkan ke arah lelaki yang perlahan-lahan mendekatnya.

"Maaf... I datang tanpa beritahu," ujar lelaki itu separuh berbisik.

Terkunci mulut Rania. Sempat dilahap air muka lelaki yang penuh tanda tanya itu. Wajah yang ketara murung. Bagai menampung segunung beban.




"You sihat?" soalnya lagi.

"Kenapa you datang?" Rania kerling sekilas pada sekeliling kawasan kediaman sewa yang sesekali dijengah kalau dilanda kesibukan. Tiada sesiapa yang dikenali.

"Nak jumpa you." Ada getar rindu yang sarat bergayutan di setiap kata yang terujar.

Tidak sanggup Rania menatap mata hiba Ummar Qayyum yang kini berdiri betul-betul di sisinya.

"You diam tiba-tiba. You tak jawab panggilan I, mesej I," keluh Ummar Qayyum.

Suaranya terdengar pilu. Hakikatnya dia memang keliru dan tidak menentu. Tiba-tiba sahaja Rania berubah. Apa sudah jadi? Apa salahnya?

Rania serba salah. Hati sebak bukan kepalang tapi tidak dilayannya. Dia mempamerkan wajah tidak senang. Banyak yang mengganggunya saat itu. Terlalu banyak sehingga ada tikanya dia terlupa akan kehidupan peribadinya. Atau dia sengaja berbuat demikian untuk melenyapkan sebuah perasaan yang begitu bertakhta di hati.

Atau juga untuk melenyapkan kesakitan yang tidak ada siapa pun tahu termasuk Ummar Qayyum. Kebetulan pula banyak episod sadis dalam hidupnya datang serentak dan berhimpun pada saat-saat yang genting serupa itu. Dan kini, Ummar Qayyum muncul pada saat Amanda Sofea begitu memerlukannya.

Amanda Sofea! Amanda Sofea yang perlu diselamatkan dulu.

"I kena pergi. Maaf," Rania sudah membuka pintu kereta.

"Ren...tolong! Jangan pergi," rayu Ummar Qayyum.

"I kena pergi."

"Kenapa? Apa masalahnya?"

"I sibuk...," dalih Rania.

"Setiap saat? I yakin ada sesuatu yang you sembunyikan dari I. Kita bincang Ren," pujuk Ummar Qayyum.

"Tak ada apa nak dibincang," tukas Rania.

"Banyak nak dibincang Ren. Rancangan pertunangan kita, tarikh, barang-barang hantaran...."

Rania tersentak. Tiba-tiba jiwanya berasa ngilu teramat sangat. Kata-kata Ummar Qayyum bagai angin lembut yang mengejutkannya dari tidur yang pura-pura. Tamsilnya dia seperti sudah melupakan semua itu. Pertunangan! Sebuah ikatan! Kenapa? Adakah aku yang cuba membohongi diriku sendiri? Adakah aku takut?

"Ren...," suara Ummar Qayyum begitu dekat dengannya. Aroma lembut halus dari tubuh Ummar Qayyum menyusup ke hidunya bila sesekali bayu kecil menyapa.

Serentak itu muncul pula wajah Murni!

Rania tersedar. Dia mendengus. "I kena pergi," Rania tiba-tiba berubah karakter.

"Ren, tunggu dulu. Kita kena duduk berbincang," pujuk Ummar Qayyum.

Dapat ditelah perlakuan aneh Rania. Dia sangat yakin ada sesuatu yang mengganggu perasaan gadis yang sangat disayangi itu. Kalau tidak, masakan begitu tindak-tanduknya.

"Kita pergi ke satu tempat, bincang dari hati ke hati," usul Ummar Qayyum. Luarannya nampak tenang tapi degup di hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Mengenali perwatakan Rania, hatinya dilanda ribut ketakutan yang dahsyat. Gadis itu boleh menjadi apa sahaja. Dia sangat sukar diramal sungguhpun secara tersuratnya dia nampak tenang dan mudah didekati.

Awal pertemuan dengan Rania, gadis itu kelihatan degil sekali. Kalau tidak kerana aku ialah bapa saudara Ashraf Daniel, tidak semudah itu untuk dirinya kudekati. Silap sedikit, dia boleh berubah dengan tidak semena-mena. Banyak kali rancangan mereka untuk keluar terbatal saat-saat akhir. Rania yang membatalkannya. Kerana itulah dia perlu lebih berhati-hati dan teliti bila berhadapan dengan gadis seperti Rania.

"Ren, I naik kereta you," cadang Ummar Qayyum lagi tatkala Rania masih kelu dan beku.

Rania berpaling padanya. Wajah gadis itu nampak begitu berserabut.

Apa yang mengganggunya? Fikir Ummar Qayyum? Mana perginya keceriaan dan kebahagiaan yang sering menari-nari di laman itu?

"Jom...," ajak Ummar Qayyum lagi.

"You tak boleh ikut I."

Selaras ungkapan itu menaikkan lagi kadar degupan jantung Ummar Qayyum.

"Kenapa?" tanya Ummar Qayyum.

Rania buntu. Apa yang harus dijawab? Dia tidak tahu. Murni? Nama Murni haram disebut. Murni tidak boleh dikaitkan dengan permasalahan antara dirinya dengan Ummar Qayyum. Bukan sebab dia takut atau gentar pada gadis desa itu tetapi ada sesuatu daripada cerita Murni yang bagai mendesaknya memutuskan hubungan dengan Ummar Qayyum. Ada bisikan-bisikan bingit yang tidak mengizinkan kelestarian hubungan mereka.

"Tiba-tiba you sepikan diri. I tak mengerti. Apa salah I? Kalau salah I, cakaplah, I akan belajar dari kesalahan itu," Ummar Qayyum memancing umpan simpati.

Hibanya hati mendengar rintihan Ummar Qayyum namun hatinya bagai sudah dikeraskan untuk tidak termakan pujukan tersebut.

"Kenapa Ren?"

Soalan Ummar Qayyum tidak mampu dijawab.

Mengapa Ummar Qayyum muncul pada saat-saat aku mahu melupakannya. Pada saat aku yang dalam kehuru-haraan dengan hidup. Pada saat aku mahu melepaskan rantai-rantai yang membelit sebuah perjalanan yang sepatutnya lurus tapi sudah menjadi rencam?

Lelaki yang bernama Ummar Qayyum itu kian mendekat. "I naik kereta you. Kita pergi ke satu tempat, bincang balik tentang urusan pertunangan kita yang tergendala. Emak kat kampung dah tanya," pujukan Ummar Qayyum lembut sekali tak ubah seperti memujuk anak kecil tapi berbeza pula di pendengaran Rania.

Ungkapan pertunangan membuatkan Rania trauma. Kata-kata Murni berpusu-pusu datang kepadanya. "Kami dah hampir bertunang kalau kakak tak muncul. Kami hampir disatukan kalau tidak kerana kakak. Kakak perampas."

Aku bukan perampas. Aku ada harga diri yang tinggi. Tidak sanggup aku berbalah dan berebutan kerana seorang lelaki. Kalau itu yang Murni mahukan, ambillah! Ahh, Ummar Qayyum memang bukan jodoh aku sebab aku percaya kata-kata Murni. Tidak ada seorang wanita pun yang dapat menyintai Ummar Qayyum seperti mana dia.

Benar! Aku sangat yakin sebab aku nampak obor cinta yang bernyala-nyala di mata Murni tiap kali nama Ummar Qayyum disebut.

"Jom Ren..."

Pandangan Rania kabur. Wajah Murni bergayutan di muka Ummar Qayyum.

"Emak tertanya-tanya bila kita nak langsung? ujar Ummar Qayyum lagi. Wajahnya berseri sedikit.

Rania lahap muka Ummar Qayyum. Seakan baru tersedar dari mimpi siang, dia mencerlung Ummar Qayyum, "Tak akan ada pertunangan antara kita."

Berubah air muka Ummar Qayyum mendengarnya. Dia tidak percaya. Dia tidak dapat menerima.

"You jangan bergurau Ren."

"I tak bergurau. I serius!"

Ummar Qayyum terlongo. Wajahnya pucat lesi. Kenapa? Apa yang telah merasuk fikiran Rania?

"Itu keputusan you. Bukan keputusan I. I tak setuju."

"I tak perlukan persetujuan you," tegas Rania.

"Ini keputusan kita bersama Ren." Mata Ummar Qayyum tajam menentang mata Rania tapi mudah saja dipatahkan oleh gadis berprinsip seperti Rania.

"Dulu keputusan bersama, sekarang tak lagi."

"I nak jumpa ibu bapa you,"

"Jumpa pun tak guna, I dah terangkan pada ibu bapa I. Mereka hormati keputusan I."

"Tapi kenapa Ren? Apa salah I?" Hampa benar nada suaranya.

"Bila kita putuskan hubungan, tak bermakna ada siapa-siapa yang bersalah. Tak ada jodoh," Rania tidak mahu memanjangkan lagi hujahan antara mereka.

"Ren, tolonglah, I perlu tahu apa yang mengubah hati you. I tak boleh terima perpisahan ini tanpa sebab yang munasabah."

Rania mati akal. Apa alasan yang akan kuberi? Murni? Ah, tidak sesekali. Nampak sangat aku pengecut kalau Murni kujadikan sandaran. Memang hak Murni untuk menjelaskan apa yang pernah berlaku tetapi keputusan untuk berpisah aku buat sendiri. Bukan sebab Murni.

Aku sedar kalau aku tidak wujud antara mereka, barangkali sudah lama mereka diijabkabulkan. Yang boleh kutegaskan pada diri sendiri ialah Murni lebih berhak terhadap Ummar Qayyum berbanding aku.

"You dah jumpa orang lain?" Dalam nada yang tertekan, Ummar Qayyum melafazkan persoalan itu membuatkan Rania tersentak.

Orang lain? Siapa? Mana pernah ada orang lain dalam hati aku dulu, kini dan selamanya sejak kau bertakhta Ummar Qayyum. Kau yang tak tahu dan barangkali tidak pernah kau sedari bahawa betapa berharga dan istimewanya kau di sisiku, tapi ada Murni antara kita. Dia lebih layak!

"Berterus-teranglah. I akan cuba menerima alasan yang you beri daripada you merahsiakan apa-apa," mata Ummar Qayyum sudah bergenang. Kelihatan segala usaha yang dilakukan untuk memujuk Rania menemui jalan buntu.

Rania diam. Tidak ada apa-apa alasan untuk diberikan pada Ummar Qayyum. Tidak ada.

Suara kudus sang angin yang sering disenangi bagai tidak memberi apa-apa erti padanya saat itu.

"Ren, you tak boleh macam ni," ujar Ummar Qayyum lagi di saat dia melihat Rania mahu masuk ke dalam kereta.

"Kenapa?" You pun pernah buat macam ni kan?" cabar Rania.

Ummar Qayyum terpinga-pinga. Dia memang tidak mengerti.

"Selamat tinggal Qayyum," Rania masuk ke dalam kereta yang pintunya sudah terbuka sejak tadi. Yang terbayang di matanya kini ialah Amanda Sofea. Amanda Sofea yang sedang menunggunya. Dihidupkan enjin dan kereta mendesah pergi.

Hati Ummar Qayyum patah seribu. Kereta Rania semakin mengecil sebelum akhirnya lenyap dari pandangan.

Apa salahku? Kenapa Rania buat begini? Mukanya yang tidak terurus akhir-akhir ini diraup gundah. Memang disedari kebelakangan ini, hubungannya dengan Rania renggang. Cuba dianalisis kali terakhir pertemuannya dengan Rania. Dalam pengetahuannya, semuanya masih berada dalam keadaan baik sehinggalah pada suatu ketika Rania membatalkan temu janji untuk makan malam bersama.

Dia pasti Rania bermasalah pada waktu itu lalu sengaja dibiarkan Rania bersendirian untuk memberinya ruang menyelesaikan sendiri masalahnya. Dia kenal gadis kental yang tidak suka bergantung pada orang lain. Dia jarang sekali bercerita tentang kemelut di sekolah kecuali berkenaan isu yang melibatkan surau. Malah dia sangat bersemangat setiap kali bercerita tentang surau.

Kemudian, Rania menghubunginya sewaktu dia sedang mempengerusikan satu mesyuarat penting. Tiba-tiba Ummar Qayyum teringat sesuatu. Dia lupa menelefon Rania padahal sebelum itu dia berjanji untuk berbuat demikian. Kemudian ajakan Rania untuk makan malam bersama terpaksa ditolak kerana Murni ada bersamanya pada waktu itu. Murni yang sedang bergelut dengan masalah datang ke Kuala Lumpur menemuinya. Kerana itukah?

Tapi Rania tidak dimaklumkan tentang kehadiran Murni. Kalau Rania tahu pun, ia bukan masalah besar sebab dia kenal Rania. Rania bukan jenis cemburu buta. Dia wanita berprinsip yang penuh pengertian. Kerana itulah, dia sangat tidak dapat menerima apabila Rania berubah mendadak. Kepalanya sarat dengan pertanyaan demi pertanyaan. Kerana rusuh dan tidak tenteram, keretanya dihalakan ke rumah ibu bapa Rania. Mudah-mudahan, dia dapat satu jawapan yang telus. Dia mahu mendengar pandangan kedua pula.

"Auntie pun tak tahu Qayyum. Auntie sangka kamu berdua yang membuat keputusan untuk berpisah," luah Puan Sri Zalia.

Dia berasa sangat belas melihatkan keadaan Ummar Qayyum dek penangan putus kasih. Ternyata, apa yang difikirkannya betul. Rania yang memutuskan ikatan tersebut. Patutlah keadaan Rania berbeza sama sekali dibandingkan dengan Ummar Qayyum. Di mata kasar, nampak Rania menjalani kehidupan seperti biasa atau barangkali dia menyembunyikan rahsia hatinya, fikir Puan Sri Zalia sambil mengimbas kembali perlakuan sang anak.

"Saya tak pernah tahu sebelum ni auntie," adu Ummar Qayyum.

"Auntie minta maaf Qayyum. Auntie tak tahu hujung pangkal cerita kamu berdua. Yang auntie ingat satu petang. Rania balik dan menangis teresak-esak. Teruk keadaan Rania masa tu."

"Bila tu auntie?" Rasa ingin tahu Ummar Qayyum meluap-luap.

"Lama juga. Dekat-dekat sebulan dah rasanya."

"Sebulan? Dan saya baru tahu auntie."

"Auntie tak tahu Qayyum, tak tahu."

Terkedu Ummar Qayyum mendengarnya. Bermakna, keputusan ini sudah lama dimeterai sendiri oleh Rania. Cuma aku sahaja yang tidak sedar, Kusangka, dia berdiam diri kerana kesibukan kerja dan aku pula sengaja memberinya ruang. Tapi lain pula rancangannya.

"Ada bergaduh dengan Ren ke?"

"Tak auntie. Tapi kami dah lama tak jumpa. Saya ingat dia sibuk, jadi saya biarkan saja."

"Bila kali terakhir Qayyum berhubung dengan Ren?"

"Dah dekat sebulan juga. Saya called banyak kali, Ren tak angkat. Mesej saya pun dia tak balas."

"Pelik betul perangai Ren ni." Berkerut dahi Puan Sri Zalia mendengar penerangan Ummar Qayyum.

"Ada dia beritahu auntie apa-apa? Dia benci saya ke? Saya buat salah padanya?"

"Dia hanya menangis Qayyum. Dia tak cerita apa-apa pun pada auntie. Bila auntie tanya, dia tak akan cakap. Rania yang auntie kenal takkan cerita lebih-lebih hal peribadinya. Dia seorang yang perahsia. Dulu, masa dengan Farhan pun begitu juga. Tahu-tahu dia dah mohon untuk mengajar di Sabah."

Rusuh kian bermukim di wajah Ummar Qayyum.

"Auntie harap janganlah dia bawa diri lagi sekali."

Putih mata Ummar Qayyum mendengarnya.

"Maknanya apa yang Ren katakan serius rupanya."

"Maksud auntie?"

Puan Sri Zalia mengeluh. "Auntie ada berbincang dengan uncle tapi uncle kata perselisihan antara Qayyum dengan Ren mungkin bersifat sementara dan auntie pegang kata-kata uncle tu. Ren pula lepas tu tak ada cerita apa-apa lagi. Dia nampak sibuk semacam saja, auntie ingat keadaan tersebut masih boleh dipulihkan."

"Saya tak tahu nak buat apa auntie. Ajak bincang pun dia tak mahu."

"Langsung tak ada perbincangan?"

"Tak ada auntie. Ren terus menyepikan diri sehingga akhirnya sewaktu saya ronda-ronda mencarinya tadi, saya ternampak kereta Ren di rumah sewa. Saya tunggu dan bersemuka dengan Ren. Saya cuma nak tahu kenapa dia menyepikan diri. Dia tak memberikan jawapan yang jelas tapi yang dia tegaskan pertunangan antara kami tak akan diteruskan."

"Pelik betul!"

"Hanya Ren yang tahu sebabnya auntie. Kami tak pernah berbincang tentang hal putus hubungan. Sebelum ni, kami sibuk keluar beli barang-barang hantaran. Alih-alih Ren kata pertunangan tak akan berlaku. Saya sangat keliru auntie."

"Auntie faham. Auntie pun keliru. Kadang-kala auntie sendiri pun tak tahu apa yang Ren cari dalam hidupnya," ketara rusuh di wajah Puan Sri Zalia.

"Saya minta maaf auntie, membawa kisah saya dengan Ren pada auntie."

"Auntie yang patut minta maaf. Err, emak dah tahu?"

Ummar Qayyum menggeleng.

"Buat sementara waktu ini biar dulu. Beri masa untuk Rania. Auntie pun rasa Rania keliru dengan hidupnya. Kesan ditukarkan dari sekolah di Sabah masih menghantui Ren agaknya," ulas Puan Sri Zalia.

Sungguhpun sudah bertemu dan berbincang dengan Puan Sri Zalia tentang Rania, tapi gelora di hatinya tetap juga tidak keruan. Dia berasa takut dan bimbang tambah-tambah lagi bila dimaklumkan bahawa Rania jenis yang berahsia. Apa yang dirahsiakan Rania? Apa yang mengganggu fikiranmu Rania? Ummar Qayyum capai telefon lalu ditekan nombor Rania. Seperti biasa, suara pesanan dari telefon yang menyambut panggilannya. Dia sangat bosan diuji dugaan sedemikian rupa. Di syarikat, sebesar dan serumit mana masalah pun tetap dapat diselesaikan tapi masalah yang berkaitan dengan emosi dan jiwa raga ini sangat melelahkan rupanya.

Dilemparkan pandangan pada deretan kotak-kotak barangan hantaran yang disusun cantik di sebelah almari pakaiannya. Dia rasa hiba. Tubuhnya rasa penat yang luar biasa. Nafasnya jadi mengah. Matanya tidak mampu dibukalebarkan. Meskipun sudah terbaring di atas katil pun, kepenatan itu tetap menghurunginya. Dilihat jam, sudah hampir pukul enam petang. Dengan sisa kudrat yang ada, Ummar Qayyum bangkit menuju ke kamar mandi. Direndamkan tubuhnya yang tidak bermaya itu di dalam tab mandian. Setelah lima belas minit, dia bangkit dan berwuduk.

Hanya inilah satu-satunya penyelesaian kepada segala permasalahan. Dicurah dan dirintihkan segala perasaannya yang meruntun pada Pencipta. Dipohonkan doa pada Allah agar ditemukan jodohnya dengan Rania binti Razlan.

Ya Allah Ya Tuhanku! Tunjukkanlah aku jalan.

Sumber: Metro
 Oleh Samsiah Mohd Nor

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker