Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 34)]: Di Mana Jalur Merah Jambu?




Assalamualaikum...

“RANIA dah buat keputusan nak berkahwin dengan Halim!” Berita itu bagai halilintar yang membelah dada. Seperti hendak pitam dia mendengarnya.

“Auntie minta maaf Qayyum. Auntie pun tak sangka jadi begini,” desah suara Puan Sri Zalia kedengaran sayup-sayup di hujung telinga dan akhirnya hilang begitu sahaja.


Dia tidak pasti sama ada dia yang memutuskan talian atau perbualan antara mereka sudah tamat tanpa disedari. Ummar Qayyum tersandar kaku di kerusi empuk di bilik pejabatnya yang mewah. Suasana sunyi makin terasa sunyi. Telefon bimbitnya masih di tangan tatkala sisa-sisa helaan lukanya dilepas payah.





Semudah itu Rania membuat keputusan? Kalau bukan Puan Sri Zalia sendiri yang memaklumkan, harus dia tidak akan mempercayainya. Ringan tangannya mahu mendail nombor Rania tapi akal tidak mengizinkan.

Hati sedang merintih gila. Tidak pernah dirasakan jiwanya sekosong itu. Tidak pernah. Selepas Rania tiba-tiba berubah hati, jiwanya tidak pernah tenteram. Tapi masih ada selintang jalur yang diharap. Jalur merah jambu! Di mana jalur merah jambu lambang cinta dan kasih itu?


Terngiang-ngiang kata Puan Sri Zalia, berikan masa pada Rania! Kata Murni lain pula, Rania barangkali sudah bertemu pengganti.

Aku tak mengerti! Barangkali tidak akan aku bertemu jalur merah jambu lagi! Rintih Ummar Qayyum tanpa henti.

Ditariknya laci di sudut meja. Dikeluarkan kotak kecil yang di dalamnya bertenggek cincin emas putih bertatahkan sebutir berlian asli. Sudah disiapkan sejak dulu.

Untuk siapa? Soalnya sedih. Ada air yang bergayut-gayutan di alis bawahnya.

Kenapa harus begini? Hatinya jadi sangat hiba. Kenapa bahagia sebentar sahaja? Kenapa tiba-tiba datang duka tatkala senyum baru mempamerkan diri.

“Rania!” Entah berapa kali nama gadis itu diseru tanpa niat. Dia masih terkejut dan sukar mempercayai apa yang didengar.

Akhirnya apa yang sangat dibimbangkan berlaku juga. Rania tekad meninggalkannya. Dulu dia ragu-ragu atas alasan apa Rania bertindak begitu tapi takdir tidak berbohong padanya. Kata-kata Murni benar kini. Rania sudah ada pengganti! Tapi, sejak bila?

Pernah matanya sendiri menyaksikan Rania bersama seseorang. Akrabnya pasangan teruna dara itu jalan berpasangan di tepi tasik meleburkan raganya, tapi jauh di sudut hati dia masih menaruh harapan. Ditepis rasa curiga, dikuis prasangka.

Mereka sekadar teman lama dan Rania yang prihatin orangnya menemani lelaki di kerusi roda itu sekadar memberi motivasi, itu kata hatinya untuk menyedapkan jiwa raga yang sering sangat goyah akhir-akhir ini.

Mereka tidak ada apa-apa hubungan istimewa. Tidak. Aku yakin. Mereka sekadar kawan biasa! Getus hatinya suatu waktu dulu.

Kerana rindu akan gadis itu, digagahi lagi diri mengekori Rania. Di bawah pohon ketapang tidak jauh dari rumah Rania, dia mengintai gadis itu di bawah cahaya bulan. Rania selalu berada di tepi jendela memandang langit sedang dia memandang Rania.


Di situlah selalunya dia berada setiap kali rindu pada Rania datang menderu-deru. Biarlah Rania tidak tahu betapa sayangnya dia pada Rania. Biarlah dia menjadi pungguk yang rindukan bulan, asalkan Rania bahagia.

Aku akan setia menunggu sehingga Rania betul-betul bersedia, ikrarnya pada diri sendiri tapi petang tadi ranap sebuah impian yang dicitakan selama ini. Sebuah panggilan telefon daripada Puan Sri Zalia memusnahkan sebuah harapan suci. Berderai impiannya yang menggunung bagai pulau kecil dihempas tsunami.

Dia hilang fokus. Dia jadi tidak menentu. Dia seperti orang mabuk kepayang. Sukar untuk dirinya menerima kenyataan tersebut. Semalaman dia tidak mampu memejamkan mata.

Esoknya, dia bercuti dan pulang ke Kampung Daun Pisang. Sampai di rumah ibu, terus diterjah masuk ke bilik bujangnya dan mengelamun sendiri.

Puas dipujuk ibu mengajaknya berbincang tapi dia lebih selesa bersendirian dan tidak mahu diganggu. Esoknya, lepas solat Zuhur barulah Ummar Qayyum menunjukkan muka.

Terkejut juga bila dilihat Murni ada bersama ibu, menolong ibu menyediakan makan tengah hari di dapur. Semalam, waktu dia sampai, Murni belum ada. Barangkali ibu yang menghubungi Murni.

Entah apa yang ada dalam fikiran Murni tentang nasib yang menimpaku. Dulu, aku melukainya dan sekarang giliran aku pula dilukai. Mengenangkan itu semua, rasanya tidak sanggup dia bertemu Murni tetapi gadis itu tetap seperti dulu. Melayaninya dengan setia dan sentiasa redha dengan suratan takdir.

“Abang nak lauk apa? Biar Murni sendukkan,” soalnya sewaktu mereka makan tengah hari bersama-sama. Nasi sudah pun disendukkan ke pinggan Ummar Qayyum.

“Abang boleh ambil sendiri,” sahut Ummar Qayyum.

Sewaktu dilihat tangan Ummar Qayyum mahu mencapai sudu di mangkuk masak asam pedas ikan parang, segera Murni capai sudu tersebut terlebih dahulu lantas disendukkan kuah berserta isi ikan parang masuk ke pinggan Ummar Qayyum.

Kemudian diceduk pula dua sudu sambal belacan ke dalam mangkuk kecil dan diletakkan bersebelahan pinggan nasi Ummar Qayyum.

Nenek Ninda memerhati saja. Sesekali Ummar Qayyum menjeling pada ibunya. Suasana jadi sepi dan hening. Tidak banyak bual bicara antara mereka bertiga. Selesai makan, Ummar Qayyum melayan diri di ruang tamu. Komputer riba yang dibawa bersama dibiarkan terbuka di atas meja.

Nenek Ninda datang dengan minuman panas. Menyedari Ummar Qayyum masih dalam kemurungan, dia memberi masa untuk anak bujang bongsunya mengelamun seketika. Lama juga mereka bersendirian sebelum Ummar Qayyum menceritakan sepintas lalu tentang khabar terkini yang diterima daripada Puan Sri Zalia.

“Zalia dah beritahu mak,” sahut Nenek Ninda selamba.

Sunyi seketika.

“Saya tak sangka begini jadinya,” luah Ummar Qayyum dengan wajah dipalit duka yang nyata sekali. Belas Nenek Ninda melihat anaknya dibalun rasa kecewa. Ketara aura kekecewaan itu tidak mampu disembunyikan. Air mukanya rusuh sekali.

“Dah tak ada jodoh. Kita harus redha,” nasihat Nenek Ninda.

Ummar Qayyum tercebik tapi segera dikawal perasaannya yang walang itu.

“Murni tahu?” Kembang-kempis hidung Ummar Qayyum menahan sebak.

Nenek Ninda angguk.

“Emak beritahu?”

Nenek Ninda angguk buat kali kedua.

Sunyi lagi.

“Kalau Murni nak kahwin, suruh dia ambil saja barang-barang hantaran yang saya dah beli tu.”

“Hish kamu ni, dia nak kahwin dengan siapa?” Nenek Ninda bersirat seraya menoleh arah dapur.

Bunyi pinggan mangkuk berlaga sesekali terdengar olehnya. Murni masih belum siap mencuci pinggan mangkuk.

“Dia datang bila?”

“Pagi tadi.”

“Emak panggil?”

“Dia telefon malam tadi. Emak cakap kau ada di sini. Mak cakap kau tengah patah hati, datanglah dia.”

“Kenapa mak cakap macam tu?”

“Habis nak cakap apa?”

Mati kutu Ummar Qayyum dibuatnya.


“Yang sudah, sudahlah Qayyum. Biarkan saja berlalu. Ingat pesan orang tua. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor. Yang patah tumbuh, yang hilang berganti,” Nenek Ninda berkias lagi.

Ummar Qayyum mendengus. Hilang Rania takkan ada pengganti. Tapi dibiarkan sahaja kata hatinya itu dalam dada. Orang lain tak perlu tahu apa yang dirasainya saat itu. Orang takkan faham perasaan hatinya.

Sungguhpun Rania sudah memutuskan ikatan antara mereka, itu adalah keputusan Rania dan bukan keputusannya. Perasaannya pada Rania tidak pernah berubah. Kerana itu, sehingga saat itu, dia tidak tergamak menghubungi Rania untuk mendapatkan kepastian. Biarlah.

Kalau Rania sepi, aku juga akan sunyi. Selagi aku belum mendengar dari mulut Rania sendiri, aku percaya harapan untukku masih ada meskipun harapanku tak ubah seperti telur di hujung tanduk.

“Kamu dah solat?” tanya Nenek Ninda. Beberapa kali dia menguap.

Ummar Qayyum angguk.

“Mak nak mandi dulu. Panas, mengantuk pula!” kata ibunya dan pergi.

Murni datang seketika kemudian dengan sepinggan besar keropok keping berserta dengan sos cili.

“Makan keropok ni bang. Abang Murni bawa dari Terengganu,” maklumi Murni.

Suaranya lembut sekali. Ummar Qayyum capai sekeping. Murni mengerling sekilas. Sedar dia cara Ummar Qayyum mengunyah keropok itu bagai melepas batuk di tangga.

“Murni, Murni tumpang bersedih dengar berita tentang hubungan tak kesampaian antara abang dengan Kak Rania.”

Wajah Ummar Qayyum masam.

“Sampai hati Kak Rania buat begitu pada abang setelah banyak yang abang korbankan untuk dia,” sambungnya lagi.

Matanya melirik pada Ummar Qayyum, mahu melihat reaksi anak muda yang sejak dulu sering menggoncang hati gadisnya.

Ummar Qayyum mengeluh seraya berpaling arah.

“Murni masih ingat kata-kata Murni pada abang dulu. Apa yang Murni yakini menjadi kenyataan rupanya. Memang benar Kak Rania ada orang lain,” komen Murni lagi.

Rimas Ummar Qayyum mendengarnya tapi bersama rimas, kenangan silam datang bagai dirakam-rakam. Dia tidak suka mengingati detik-detik itu tapi entah mengapa kenangan itu tiba-tiba menguliti laluan mindanya. Wajah Rania berselang-seli dengan wajah lelaki berkerusi roda berbayang-bayang di ruang mata. Dia tidak boleh berbohong pada dirinya lagi. Rania bersama Halim sangat mesra. Memang mesra.

Dia ingat, lelaki itu pernah hadir pada majlis pernikahan Rais. Rania duduk semeja dengan lelaki itu. Kalau Rania sudah ada pilihan, kenapa dia menerima aku dulu? Atau pada waktu itu mereka belum ada ikatan hati? Sejak bila pula hati mereka bertaut? Cuba diingat-ingat Ummar Qayyum tentang sesuatu. Barangkali sewaktu aku dan Rania dilanda sepi pada suatu ketika dulu. Waktu itukah lelaki bernama Halim itu datang dan mewarnai hidup Rania?

“Dunia ini bagai roda ya bang,” suara Murni mencelah antara rakaman-rakaman peristiwa yang sedang berputar. Berserabut fikiran Ummar Qayyum.

“Boleh tinggalkan abang sendiri?” Tiba-tiba Ummar Qayyum mengarah.

Berubah air muka Murni. Marahkan nyamuk kelambu dibakar! Getus Murni dalam hati. Sakit hati punya pasal, dia masuk ke biliknya dan merenung telefon bimbit. Akalnya galak berfikir. Aku harus main peranan lagi.

Nampak gayanya jiwa raga Abang Qayyum tak berganjak pun daripada Rania. Dia teringat cerita Nenek Ninda pagi tadi. Seperti Nenek Ninda, Ummar Qayyum pun dapat berita tentang Rania daripada Puan Sri Zalia. Bermakna Rania tidak main apa-apa peranan. Dia sekadar berdiam diri. Kerana Rania tidak melatah, Ummar Qayyum masih menaruh harapan.

Apa yang harus aku buat? Fikir punya fikir, akhirnya dia nekad melakukan sesuatu. Dari dalam kamar yang memang dikhaskan buatnya, Murni dail nombor telefon Rania.

“Tahniah kak,” ucapnya sebaik selesai menjawab salam Rania.

“Tahniah apa?” tanya Rania balik. Dia mahu bersendirian di kamar tapi ada saja yang mengganggu.

“Dengar berita akak nak kahwin dengan Halim.”

“Tak ada kena-mengena dengan awak.” Melenting suara Rania. Jarang sekali dia menggunakan kata ganti nama ‘awak’ untuk seseorang tapi entah mengapa kali ini ringan saja mulutnya mengungkapkan kata ganti nama tersebut.

“Oh minta maaf kak. Mungkin Murni er...tak patut ucap tahniah kot.”

“Awak nak apa? Nak undang saya ke majlis awak ke?” Rania pulang paku buah keras. Dia malas hendak berbasi-basi dengan perempuan seperti Murni.

Murni tak terkata. Terkejut juga mendengar nada agresif Rania.

“Kenapa diam? Saya ingat awak yang dulu naik pelamin daripada saya,” tukas Rania lagi.

“Murni tak kisah kak sama ada Murni dapat kahwin atau tidak dengan abang Qayyum. Yang penting kakak tak dapat.”

Berdesing telinga Rania mendengarnya. Rania letak gagang telefon.

Kurang ajar kau Murni! Getusnya dengan dada berombak. Dipejam matanya seketika untuk menyejukkan hati yang membara. Itukah matlamat sebenar Murni? Untuk menggagalkan cinta antara aku dengan Ummar Qayyum? Kenapa tak pernah aku terfikir begitu?

Busuknya hati manusia!

Tiba-tiba saja hatinya dilanda perasaan yang pelik. Aneh sekali perasaan yang datang begitu saja, entah dari mana-mana. Muncul pula segeluk rasa hiba bila seraut wajah Ummar Qayyum menyelinap dalam gerbang fikirannya.

Kasihan Qayyum! Adakah aku telah menzalimi Ummar Qayyum? Perut mendadak rasa memulas-mulas. Dada pula berdebar-debar. Tuhan berilah kekuatan pada aku!

Pintu kamarnya diketuk dari luar. Semangatnya yang sudah separuh hilang, bakinya sejemput kini. Dengan langkah longlai, dipulasnya tombol pintu.

“Abang Rais. Bila sampai?” soalnya tatkala wajah abangnya muncul di balik pintu kamar.

“Boleh abang masuk?” tanya Rais pula tanpa menjawab soalan si adik.
Rania melebarkan daun pintu.

“Mama kata Ren dah putus terus dengan Qayyum dan nak kahwin dengan Halim. Betul ke?” soal Rais serius.

Terperanjat besar dia menerima perkhabaran tersebut daripada emaknya sebaik sampai di rumah tersebut.

Rania angguk. Rais mengeluh kesal.

“Kenapa? Tiba-tiba sahaja. Abang tak tahu hujung pangkal.”

“Ren malas nak kacau abang. Abang pun sibuk dengan hidup abang.”

“Sesibuk mana pun abang, Ren tetap adik abang. Abang kecil hati jadi orang paling akhir diberitahu tentang hal Ren.”

“Ren minta maaf.”

“Abang tak suruh Ren minta maaf. Abang nak Ren bercerita pada abang apa yang sebenarnya berlaku.”

“Semua dah selesai bang. Ren malas nak fikir lagi.”

“Apa yang dah selesai?”

“Masalah.”

“Betul? Dari lubuk hati Ren, memang ikhlas Ren kata perkara itu dah selesai?” uji Rais.

Rania melarikan pandangan matanya daripada Rais.

“Ini soal hati Ren. Bukan soal remeh-temeh. Ren nak kahwin bukan untuk sehari dua tapi untuk selamanya kan?” desak Rais lagi.

Rania lemparkan pandangan di luar jendela. Di situlah tempatnya selalu bertenggek akhir-akhir ini. Entah mengapa dia senang berbicara dengan alam, dengan malam, dengan langit dan dengan bintang tentang hatinya.

“Ren, jangan buat silap macam abang,” luah Rais tanpa segan silu lagi.

Rania terkesima. Bergenang air matanya tatkala melihat kabut duka yang bersidai di wajah Rais.

“Abang buat silap dalam kehidupan dan abang dalam proses untuk membetulkannya balik. Abang harap tak terlambat.”

“Apa maksud abang?” Ngilu Rania mendengar butiran kata yang baru terbit dari mulut Rais.

“Abang dalam proses bercerai dengan Kak Yati.”

“Abang!!!”

“Ren yang pertama abang beritahu.”

Terkebil-kebi Rania dibuatnya. Setetes air mata Rais gugur di pipi. Rania sapu air mata abangnya. Seumur hidup tak pernah dilihat air mata abang Rais gugur. Itu air matanya yang pertama.

“Jangan buat kesilapan seperti abang,” pujuk Rais lagi.

Rania menangis teresak-esak. “Ren pun dah buat silap. Ren dah lukai hati Qayyum. Ren khianati cintanya sebab....”

Kalimah itu mati di situ. Tak berdaya untuk Rania teruskan.

“Belum terlambat Ren. Abang yakin Ummar Qayyum akan faham dan sentiasa bersedia menerima Ren.”

“Bukan masalah Qayyum bang,” Rania sapu air mata yang bertali arus. Rasa sesal dan bersalah pada Ummar Qayyum kian menunda-nunda.

“Ren tahu hati budi Qayyum cuma masalahnya sekarang....”

“Halim?” sampuk Rais.

Rania angguk.

“Kita boleh jumpa dia. Cakap baik-baik dengan dia,” pujuk Rais.

“Tak boleh bang. Ren tak sanggup. Ren tak nak kecewakan Halim.”

“Itu saja pilihan yang kita ada,” Rais memberi kata dua. Serentak dengan itu bunyi pesanan ringkas masuk ke telefon bimbit Rania. Nama Ummar Qayyum tertera.

“Ummar Qayyum bang,” ujar Rania. Rais angguk kepala. Segera Rania membuka mesej tersebut.


Ren kesayanganku,


Maafkan I kerana menghantar mesej ini pada saat-saat genting begini. Tidak sesuai I kira kerana mungkin you sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis pernikahan you dengan Halim. 

Setelah berteka-teki tentang banyak perkara yang sampai sekarang masih belum I temukan jawapannya, I harus akur pada takdir yang tersurat. I juga harus akur dengan pilihan yang telah you buat. Cuma, I rasa sedikit terkilan. 

Kenapa tak berterus terang pada I bahawa you sudah ada yang lain. Kalau dari dulu you tidak berahsia, tak banyak hati insan yang terluka. Dan, tak perlu I kecewakan hati seorang gadis desa semurni MURNI.


Qayyum.

Luluh rasa hati sebaik mesej itu dibaca kali pertama. Bila dibaca kali kedua, lain pula reaksinya. Semurni Murni? Hendak termuntah Rania dibuatnya! Daripada rasa hiba, Rania jadi marah tiba-tiba.


Bersambung

Oleh Samsiah Mohd Nor

Sumber: HMetro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker