Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 18)]: 'Aduhai Qayyum!' Bisik Hati Rania

MENGGELABAH Rania dibuatnya. Dipejamkan matanya. Dari mana Ummar Qayyum datang? Ulangnya entah untuk kali ke berapa. Aduh! Mati aku. Aku harus pergi dari kelompok ini. Dan Ummar Qayyum tidak boleh tahu. Kalau aku tidak bergerak, naya! Fikirnya.

Justeru, perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi. Membelakangi para tetamu lantas menyusup keluar daripada kemeriahan tetamu yang bertandang. Dia bergerak cepat tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan lagi.

Sampai di sebuah tiang roman sebesar pemeluk, dia menyandar melepaskan lelah. Pandangan pelik daripada beberapa tetamu yang melintas di sisi melihat tingkah anehnya tidak dipeduli. Dipejamkan matanya. Bermacam-macam soalan menghentam tempurung otak.


“Kacau! Kacau! Rosak program aku. Macam mana Qayyum boleh ada di majlis ini? Dari belah pengantin perempuankah? Rasanya tidak. Masa dia pergi ke majlis di rumah Kak Haryati minggu sudah, kelibat Ummar Qayyum langsung tak ada.

Kalau begitu undangan dari keluarga akukah? Siapa yang undang dia? Abang Raiskah? Barangkali. Abang Rais kawan Qayyum? Sejak bila? Aduh! Bingit kepalanya diaduk pelbagai persoalan.

“Hai, main sorok-sorok dengan siapa?” Dalam kecelaruan fikiran, ada pula suara yang berani menegurnya.





   
Rania membuka mata. Terkejut usah dikira. Hampir terlucut jantungnya. Ummar Qayyum berdiri betul-betul di hadapannya, tersenyum lawa membariskan gigi yang putih bersih. Rania hampir menangis.

Ummar Qayyum memanah anak matanya. Mata yang terkejut dan penuh penasaran. Ummar Qayyum jarakkan sedikit ruang antara mereka. Kali ini dipandang keseluruhan wajah Rania - tetap mempesona meskipun kelat sekelat putik jambu batu.

“Kalau tahu you dapat undangan ke majlis yang sama, mesti I ajak you pergi dengan I,” tutur Ummar Qayyum.

“Takk!” Rania tergagap-gagap.

“Tak? Apa yang tak? Tak sudi?”

“Oh, bukan. Maksud I...”

“Huh!” Ummar Qayyum menantikan penjelasan daripada Rania.

Aduh! Ummar Qayyum, maafkan aku! Aku berasa sangat bersalah. Tak sanggup rasanya aku berhadapan denganmu dengan rasa bersalah yang terus membeliti aku. Kau masih menyangka aku tetamu padahal aku sebahagian daripada tuan rumah. Kalau aku bersayap, sekarang juga aku terbang. Ke mana sahaja asal tidak terperangkap dalam sangkar ini. Malunya aku!

“Tak apa, lupakan! Jom,” ajak Ummar Qayyum.

Rania serba salah. Mati akal seketika meskipun dia sedar Ummar Qayyum sedaya mungkin mahu membuang rasa bersalah yang bersarang di jiwa.

“Ke mana?” Tanpa memandang Ummar Qayyum, Rania bertanya.

“Jumpa pengantin. I nak kenalkan you dengan kawan I.”

“Siapa kawan you?” Rania tidak keruan.

“Rais.”

Oh! Bermakna dia kawan Abang Rais. Kawan yang mana? Kawan masa Rais menuntut di MRSM kah atau di Sydney? Kalau kawan persekolahan, sudah pasti dia juga kenal kerana mereka di sekolah rendah yang sama.

“Alang kepalang kita dah jumpa di sini, I nak kenalkan buah hati I. Jom,” Ummar Qayyum terus menyuarakan rancangannya tanpa menyedari berkecamuknya perut Rania.

“Tak apalah. I nak pergi jumpa kawan I,” dalih Rania. Dia bergerak pantas meninggalkan Ummar Qayyum di belakang. Terus dituju ke arah meja Ros Ilyani tatkala melihat kakak angkatnya sudah ada di situ. Malangnya dia tidak perasan Rais bersama Haryati melayan tetamu-tetamu mereka di meja bersebelahan meja Ros Ilyani. Melihat Rania diekori oleh Ummar Qayyum, Rais menggamit sahabat lamanya. Sambil itu dia memanggil nama Rania.

Aduh! Masuk perangkap aku! Detik hati Rania. Tubuhnya terasa lemah. Lemah yang tadi masih belum hilang, datang pula episod seterusnya. Masakan dalam sepetang sahaja semua rahsia terbongkar. Hari apakah ini? Depan belakang kiri dan kanan, semua pintu tertutup buatnya. Dia sedar tidak boleh lari lagi. Perlahan saja dihampiri abangnya dengan rupa orang bersalah.

“Tiba-tiba saja hilang,” usik Rais pada Ummar Qayyum tanpa menyedari apa yang berlaku. “I nak kenalkan you dengan adik I. You ingat tak?” Tanya Rais dengan wajah yang ceria. Rania menyerah diri. Dia kaku di sebelah abangnya.

“Siapa?” tanya Ummar Qayyum. Keningnya berkerut tapi terlintas sesuatu.

“Rania.”

“Rania?”

Rais tertawa kecil. “Banyak yang you dah lupa barangkali,” Rais tersenyum.
Air muka Ummar Qayyum berubah mendadak. Oh! Rania adik Rais rupanya. Dia tidak pernah menduga itu. Tak pernah! Sangkanya Rania berada di situ sebagai tetamu. Tetapi rahsia lain pula terbongkar.

“Masih ingat Rini?” tanya Rais lagi.

Makin haru biru Ummar Qayyum dibuatnya. Bukan dia saja malah Rania juga. Perempuan dagu berlekuk itu terpinga-pinga. Kenapa tiba-tiba Rais menyebut nama timang-timangannya sewaktu kecil pada Ummar Qayyum? Aku terlepas sesuatukah? Fikir Rania. Itulah juga yang bermain di fikiran Ummar Qayyum. Kedua-duanya saling bersilang kata.

Ummar Qayyum seolah-olah mengenang sesuatu. “Rini?” Dia menyebut nama itu dan mendadak terbayang kenangan silam. Ummar Qayyum memaraskan telapak tangannya ke paras perut.

“Ya, Rini masa kita kecil dulu, sekarang she is a big girl now.”

“Maksud you Rania ialah Rini?” Bulat mata Ummar Qayyum menginginkan kepastian.

Rais anggukkan kepala. “Abang Qum Qum dengan Rini. You tak ingat?” Rais mengembalikan nostalgia semalam yang memang manis.

Berderai tawa Ummar Qayyum. Sekarang dia ingat sepenuhnya. Rania tergamam. Qayyum ialah Qum Qum? Seram sejuk tubuh badan Rania. Kalau Ummar Qayyum baru tahu, begitu juga dia. Itu adalah kejutan untuk mereka berdua.

“Patutlah.” Sepatah saja ujaran Ummar Qayyum menambahkan degup di jantung Rania. Dalam riuh suara Rais bercerita, Ummar Qayyum mencuri pandang ke arah Rania yang masih menunduk. Rania! Rini! Goshhh, patutlah irasnya mengingatkan aku pada seseorang sejak pertama kali bertembung. Kecilnya dunia! Apa lagi kejutannya? Getus Ummar Qayyum sendirian.

Dan Rania pula masih dalam mandala kejutan yang sama. Dia tidak pernah menyangka bahawa Ummar Qayyum, lelaki yang kakinya pernah disadung di sekolah merupakan jiran mereka masa kecil dulu. Abang Qum Qum!

“Rupa-rupanya kita dah kenal dulu-dulu sebelum kita kenal di sekolah ya,” terletus kata-kata itu dari bibir Ummar Qayyum.

“Oh, dah kenal sebelum ni,” sampuk Rais. “Ren tak beritahu abang pun.”
Merah padam muka Rania. “Mana Ren ingat dia pernah jadi jiran kita dulu!” Rania lepas tangan.

“Double re-union ni,” ulas Rais dengan gembira.

“Bang, Kak Ros dengan Halim ada di sebelah tu,” Rania mengubah topik. Dia sudah tidak sanggup terus diterjah dengan pelbagai kejutan. Kali ini muka Rais pula yang berubah. Lebih ketara perubahan di muka Haryati.

“Ros dengan Halim datang?” tanya Rais perlahan. Agak terkejut mendengarnya.

“Ya. Ren duduk dengan mereka tadi. Ren pergi pada Kak Ros ya!,” pinta Rania. Tidak berani hendak memandang muka Ummar Qayyum sewaktu tubuhnya menyusup keluar dari kumpulan tersebut.

“Kak Ros dah nak balik Ren,” ucap Ros Ilyani sebaik sahaja Rania duduk di sebelahnya. Dia sudah tidak betah lagi berlama-lama di situ. Pertama kali nampak Haryati sekadar terkejut tapi kini rasa terkejut sudah berubah jadi menyampah. Degupan dadanya kian kencang.

“Dah jumpa Abang Rais?” tanya Rania.

“Tak apalah. Rais pun sibuk layan tetamu.”

“Abang Rais tak perasan Kak Ros datang,” Rania berusaha menyedapkan hati tetamu.

Ros Ilyani diam sahaja. Fikirannya berkecamuk dan hilang fokus. Di luar nampak tenang tapi gelodak di jiwanya hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Sakit benar ditipu dan dikhianati. Sakit lagi menahan perasaan. Rania tidak tahu apa yang sedang dia alami sekarang. Halim pun. Rais juga. Malah seluruh tetamu di dalam dewan yang serba mewah itu tidak tahu tsunami yang melandanya. Kalau tahu pun hanyalah Haryati.

Perempuan itu! Ah, duri dalam daging! Gunting dalam lipatan. Rupa-rupanya dia yang menjadi pengantin di sini. Untuk mengesahkan apa yang dilihat, dia sudah menyelidik dan memerhati Haryati sedari tadi. Memang sah dia Haryati. Haryati yang asal usulnya dari Kampung Rimba, Janda Baik juga. Licik rupanya perempuan itu!

Melihat Haryati yang tidak berganjak dan berkepit di sisi Rais membuatkan hatinya tambah panas. Main kotor rupanya kau Haryati, bisik Ros Ilyani sendirian.

“Mesti Abang Rais berbesar hati Kak Ros dengan Halim datang hari ini,” sejujurnya Rania bersuara tanpa menyedari gelora raga Ros Ilyani.

Ros Ilyani tidak mampu bersandiwara lagi. “Akak kena balik Ren,” Ros Ilyani bangkit lantas memusing kerusi roda Halim.

“Kak, saya boleh tolak sendiri,” dengus Halim. Rania pandang saja Halim yang moody sejak duduk di kerusi roda. Sabarnya Kak Ros menangani kerenah Halim. Tanpa kata, Ros Ilyani biarkan Halim menyorong kerusi rodanya sendiri.

“Ros, Halim. Terima kasih datang,” Rais muncul depan Kak Ros. Di sisinya Haryati. Rania kerling sekilas ke meja sebelah kerana mahu tahu di mana lokasi Ummar Qayyum. Tapi kelibatnya tiada di situ. Yang dia nampak Kak Rindu yang sedang terkocoh-kocoh menghala ke arahnya. Suara pengacara mengulang-ulang memanggil keluarga kedua-dua belah pihak untuk sesi ambil gambar.

“Ren...,” panggil Kak Rindu. Dia mendukung Isabela. Si kecil itu menguap beberapa kali. Diunjukkan Isabela pada Rania. “Pergi ke pelamin, ambil gambar keluarga. Rais dengan Haryati sekali. Mama dengan ayah dah tunggu,” arah Kak Rindu.

“Akak nak ke mana?”

“Akak nak cari Seth dengan Abang Ridzuan, tak nampak dari tadi.”

“Kak Ros, Halim, boleh tunggu kejap?” pinta Rania. Wajahnya sangat mengharap.

Ros Ilyani pandang adiknya. Halim angguk.

“Kejap lagi Ren datang balik,” janji Rania. Gadis itu bergerak terus tanpa memandang lagi ke kiri atau kanan. Selesai sesi bergambar seisi keluarga dengan pengantin, Rania mencari Ros Ilyani. Bimbang usah dikata takut bertembung mata dengan Ummar Qayyum tapi alhamdulillah semuanya berjalan baik. Barangkali Ummar Qayyum sudah pulang mengusung seribu satu macam soalan. Ah! Gasaklah, fikir Rania malas menyemakkan kepalanya.

Bersama Ridzuan, dia mengiringi Kak Ros bersama Halim sehingga ke pintu dewan majlis.

“Terima kasih Kak Ros, Halim sudi datang.”

“Sama-sama,” sahut Ros Ilyani manakala Ridzuan menyalami Halim.

“Harap jumpa lagi,” kata Ridzuan. Matanya redup memandang Ros Ilyani.

Ros Ilyani angguk sahaja. Pergi sahaja Ros Ilyani bersama Halim, Ridzuan bertanyakan Rania tentang Ros Ilyani.

“Tak jadi dia dengan Abang Rais?” tanya Ridzuan.

“Abang Rais tak pandai pilih antara kaca dengan permata,” selamba Rania berkata demikian.

“Nanti berikan abang nombor Kak Ros ya.”

“Abang Riz nak buat apa?”

“Adalah...,” sahut Ridzuan.

“Abang Rizkan? Satu suara menyapa. Mereka berdua menoleh. Ridzuan merenung seketika wajah lelaki di hadapannya sebelum dia berkata, “Qayyum?”

Kedua-dua lelaki itu bersalaman dan berbicara. Sekali lagi Rania terkedu. Dia belum balik rupanya! Memang tidak dapat dielakkan, Ummar Qayyum yang dipanggil Abang Qum Qum semasa mereka berjiran dulu dikenali oleh seluruh keluarga. Rania menjauhkan diri, membawa fikirannya menerawang. Kali ini dia sudah tidak peduli. Dia tidak mahu lari atau menyembunyikan diri daripada Ummar Qayyum lagi. Sukarnya hidup diekori oleh bayang-bayang kesalahan. Penat!

Sekejap lagi kalau Ummar Qayyum masih mengekori aku, akan akan berdepan dengannya dan mengaku segalanya, putusnya. Matanya meliar mencari Ummar Qayyum tapi yang tiba-tiba muncul Farhan. Senak perut berhadapan dengan lelaki yang seperti biskut itu.

“Ren, I ada hal nak bincang dengan you,” ucap Farhan.
“I tengah sibuk Farhan.”

“Tadi you sibuk masa dikejar seorang lelaki handsome, sekarang tak lagi,” sindir Farhan. Rupa-rupanya dalam diam dia merakam apa yang berlaku.

“Apa masalah you?” Marah Rania. Sudahlah sepetang hari itu dia digulati pelbagai masalah datang pula Farhan menjadi tukang tambah.

“I nak cakap dengan you. Bukan senang nak jumpa you,” Farhan berterus-terang.
“You nak apa?”

“Nak buat penjelasan tentang diri I. “

“Oh, nak cerita dengan I sebab you berpisah dengan Maisarah?”
“Ren, dengar dulu...”

Rania bergerak laju. “I tak hendak dengar dan tak berminat untuk mendengar apa-apa.”

“I tahu you masih marah dengan I. You dendam dengan I kan?”

Langkah laju Rania terhenti. Kecil Farhan di matanya. “Apa you kata? Marah dengan you? “ Rania ketap bibirnya. “Kalau you nak tahu sangat, I sikit pun tak hairan bila you kahwin dengan Maisarah malah I bersyukur sangat. You lupa ya? Yang nak satukan kita keluarga kan? Jadi fikirlah sendiri,” Rania tunjal dada Farhan dan pergi begitu sahaja. Tidak dipandang kiri atau kanan lagi. Walaupun dia rasa puas dapat menunjal dada Farhan. Namun hati yang bercelaru sukar dikikis.

Tiba-tiba rasa bersalah datang menyengatnya. Datang pula rasa sesal apabila majlis hampir selesai tetapi wajah Ummar Qayyum yang dicari-cari tidak ditemukan. Puas diintai kelibat Ummar Qayyum tapi hampa belaka. Sehingga majlis bersurai bayangan Ummar Qayyum tetap tidak muncul. Mahu saja dia bertanyakan abangnya Ridzuan tentang Ummar Qayyum tapi hati tidak mengizinkan.

Dicapai telefon dari dalam

tas tangan kecilnya tapi tidak ada apa-apa panggilan dari Ummar Qayyum. Sepanjang hidupnya tak pernah jiwa raganya berserabut begini. Emosinya terganggu. Sedih meninggalkan anak-anak murid di pedalaman Sabah pun tak sesedih dan sehiba hatinya kini. Dia berasa sangat bersalah pada Ummar Qayyum. Tambah pilu apabila nama Ummar Qayyum disebut-sebut oleh keluarganya masa acara buka hadiah.

“Dia ada jumpa mama, mula-mula mama tak perasan juga. Wah, handsome betul abang Qayyum sekarang ya,” puji Puan Sri Zalia.

“Handsome, berkerjaya, bijak. Pakej lengkap ma,” sampuk Ridzuan.

“Dah kahwin ke belum?” tanya Kak Rindu.

“Entah. Lupa pula nak tanya,” Ridzuan tertawa sendiri.

“Rasanya belumlah ma...,” sampuk Rais.

“Kalau dah kahwin mesti dia bawa isterinya sekali kan?” Puan Sri Zalia membuat rumusan.

“Ada juga yang dah beristeri tapi tak bawa isteri. Dia orang datang dengan kawan-kawan,” tambah Rais lagi.

“Kenapa Rais tak jemput keluarga Qayyum sekali? Teringin benar mak nak jumpa Kak Ninda.”

“Tak sempat nak fikir ma, yang tolong ingatkan Rais untuk contact kawan-kawan pun Yati ni. Rais buka Facebook. Main jemput saja mana yang dan...”

“Eh, Qayyum jumpa Ren tak?” Tiba-tiba Puan Sri Zalia teringatkan sesuatu.

“Apa tak jumpa, siap panggil Abang Qum Qum lagi,” Rais bongkar kisah silam. Puan Sri tertawa geli hati. Dia memang ingat panggilan tersebut. Rania agak pelat masa kecilnya. Qayyum dipanggilnya Qum Qum.

“Ha’ah, yelah. Dulu Ren panggil dia Abang Qum Qum. Mama ingat lagi. Rais selalu usik Ren, abang Qum Qumlah yang memujuknya.”

Tan Sri Razlan yang sedari tadi mendengar senyum sekilas.

“Ayah, Datuk Mukhriz tu Abang Qayyum,” cerita Rais. “Mesti ayah biasa jumpa kan?”

“Oh ye ke? Beberapa kali juga ayah jumpa tapi tak cerita pula tentang ni.”
“Macam manalah kita terlepas pandang keluarga yang agak rapat dengan kita suatu ketika dulu ya bang,” imbas Puan Sri Zalia.

Rania terbang dalam imaginasinya yang tersendiri dalam riuh rendah gurau senda keluarga. Memang tubuhnya di situ tetapi jiwa raganya entah ke mana-mana. Dia teringatkan Ummar Qayyum. Teringat sangat-sangat. Sesekali dia melihat telefon kalau-kalau Ummar Qayyum menghantar pesanan ringkas atau menelefonnya tapi hampa. Selepas Ummar Qayyum pulang dari majlis, sehingga kini tiada sepatah berita pun dari anak muda tersebut. Diam Ummar Qayyum rupa-rupanya memberikan tamparan hebat padanya.

Qayyum, hantarlah berita walaupun sepatah cuma! Hantarlah! Rintih Rania.

Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catat Ulasan

Nak tinggalkan komen ek? Sila-sila =)
Pastikan tak menyinggung perasaan sesiapa ya.
Happy blogging.

”Jom like page fb blog”

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker