Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 19)]:Debar Sukma Yang Tertinggal

BERAS ditampi nyiru ditadah,
Jatuh semuanya di dalam baruh;
Rahsia dikunci pecahlah sudah,
Di mana muka hendak ditaruh?

Pantun empat kerat nukilan Dayana Asilah tamsilnya menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Saat berganti minit, minit berganti jam, jam berganti hari, hari berganti hari, peristiwa bertembung dengan Ummar Qayyum di majlis perkahwinan Rais tak pernah hilang, malah sentiasa berbayang di ruangan mata. Cuba dikuis kenangan itu tapi payah amat.


"Saya beli cikgu," sahut Yuzwan. Rania angguk kepala.

Mawar merah berkembang indah,

Bunga melur berbunga merata;
Rahsia dikunci pecahlah sudah,
Tangan dihulur maaf dipinta.

Seluruh kelas bertepuk tangan. Rania senyum kelat. Tapi pujian tetap diberikan kepada kedua-dua pelajar yang hebat itu. Memang hari itu, dia betul-betul terkena. Bukan sekali tapi dua kali.

Biasalah, siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas, bisik Rania sendiri. Fokusnya kembali kepada pelajar 4 Jupiter. Kelas baru menggantikan kelas 4 Mercury. Walaupun baru masuk dua minggu bersama pelajar tersebut, tapi dia cepat serasi dan selesa dengan mereka.

Suara pelajar masih berceriau. Seronok mencipta pantun walaupun tidak secekap dan sehebat Dayana Asilah dan Yuzwan. Rania tidak jemu mengajar mereka.




Daripada pantun dua kerat sehinggalah ke pantun lapan kerat. Kaedah menyisipkan kosa kata dan cara binaan rima menarik minat pelajar. Kemudian dia kembali memfokuskan binaan pantun empat kerat.

Empat baris yang terbina daripada dua baris pembayang dan dua baris maksud. Sungguhpun sekadar pembayang, digalakkan pelajar menggunakan ayat indah dan bermakna. Bukan setakat pen merah pen biru, tapi lebih estetik dan bermakna daripada itu. Alam ciptaan Allah luas terbentang. Banyak kosa kata bahasa Melayu yang halus dan menusuk. Pandang, perhati, fikir, analisis dan kemudian cipta.

"Macam pantun ciptaan Dayana dan Yuzwan, penggunaan kosa kata seperti beras, nyiru, baruh, melur dan mawar yang digunakan dalam pembayang mempunyai makna yang dikaitkan dengan alam," Rania memotivasikan pelajar.

"Cikgu, kosa katanya, tak boleh nak fikir," luah Aisyah.

"Pesan cikgu apa? Masa kita berkarya, mencari perbendaharaan kata, guna kamus. Mana kamus?" tanya Rania.

Pelajar tersengih-sengih.

"Aisyah, Damia. Balqis, Arisa, Sabrina, semua tak bawa kamus?"

Masing-masing berpandangan tanda bersalah.

"Berapa kali cikgu pesan, kamus jangan tinggalkan. Jadikan kamus sebagai teman. Kamus Dewan sangat bagus. Macam-macam kosa kata ada dalam tu."

"Lain kali kami tak lupa cikgu," janji pelajar.

Bila loceng berbunyi, sekali lagi Rania ingatkan pelajar menyiapkan latihan yang diberi. "Minggu depan masa Bahasa Melayu, jangan lupa bawa kamus," pesan Rania sebelum keluar kelas.

Dari kelas 4 Jupiter, Rania terus menghala ke bilik guru. Di atas meja ada sepucuk surat bercop dari Sabah dan dua keping surat panggilan mesyuarat - surat panggilan mesyuarat PIBG dan mesyuarat panitia Bahasa.

Senyum Rania berladun sebaik saja selesai membaca surat Maya. Berita dari Sabah membahagiakannya. Maya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM - 10A. Begitu juga dengan kawan-kawan yang lain. Ajik, Apong, Salimah.

Selebihnya meskipun tidak sepenuhnya A, tetapi layak untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi. Puas hati Rania. Tidak ada apa yang guru harapkan daripada para pelajar selain kejayaan mereka. Alhamdulillah tak sia-sia dua tahun aku bergelut di sana! Rania capai buku latihan pelajar.

"Minggu depan mesyuarat pertama PIBG Ren," Cikgu Wan menepuk bahu Rania. Rania angguk. Cikgu Wan jadi setiausaha PIBG tahun itu. Selesai Mesyuarat Agung PIBG dua minggu sudah, guru-guru sibuk balik kerana minggu akan datang ialah Hari Anugerah Kecemerlangan pelajar. Memang tak sempat nak goyang kaki. Malah, Akhir-akhir ini Rania tidak sempat ke kantin kerana masa tidak mengizinkan. Buku latihan pelajar bertimbun menunggu untuk disemak. Rania membetulkan urat tubuhnya yang rasa lenguh dan bersimpul. Di luar pejabat guru, pelajar kelihatan turun tangga menuju ke kantin. Amanda Sofea tiba-tiba muncul di sebelahnya.

"Hai Amanda, apa khabar?"

"Khabar tak best," sahut Amanda.

"Apa yang tak bestnya?"

"Cikgu dah tak mengajar kelas kami."

"Apa pula. Itu kan permintaan seluruh kelas supaya tukarkan cikgu," entah mengapa ayat itu yang keluar daripada mulut Rania. Terlucut begitu sahaja.

"Cikgu tahu kan apa yang terjadi di kelas tu."

Rania rasa sangat bersalah selepas melemparkan kata-kata sedemikian.

"Cikgu masih marahkan kami agaknya," luah Amanda Sofea. Rania pandang muka putih Amanda Sofea. Wajah yang tidak berdosa itu bagai menagih sesuatu. Mungkinkah benar kata Amanda Sofea? Selepas jawatannya dilucutkan daripada mengajar Bahasa di kelas 4 Mercury, dia memang sudah berpatah arang dengan semua pelajar kelas tersebut. Setiap kali melalui kelas 4 Mercury, dia sengaja memandang ke arah lain padahal yang membuat onar hanya Elly Sukaesih seorang.
Kejamkah aku?

"Saya minta maaf cikgu. Walaupun cikgu tak mengaku tapi saya rasa jauh di sudut hati cikgu tak suka kami. Memandang kami pun cikgu tak sudi," lirih suara Amanda Sofea menjentik tangkai hati Rania.

"Saya terdengar Elly Sukaesih cakap pada kawan dia, cikgu ajar lagi faham. Baru dia tahu!"

Rania tepuk bahu Amanda Sofea yang mula beremosi. Matanya sudah bergenang air.

"Kerana dia kami semua menanggungnya," terlepas juga segeluk kecewa yang selama ini disimpan Amanda Sofea.

"Tak apalah! Akurlah dengan apa yang berlaku," pujuk Rania.

"Saya tak seronok. Saya sayang cikgu. Saya nak cikgu ajar kelas kami balik," kata Amanda Sofea sebelum pergi meninggalkan Rania dengan seberkas soalan.

Benarkah apa yang dikata Amanda Sofea? Aku sebenarnya marah! Merajuk! Aku pergi dan tak pusing lagi. Entahlah, selepas peristiwa memalukan itu, dia bungkus kisah tersebut dan dicampak ke longkang tepi sekolah. Namun, setiap kali melalui kelas 4 Mercury, sering dia memalingkan muka ke arah lain.

Merajukkah aku seperti kata Amanda Sofea? Dia juga terdengar namanya disebut setiap kali melalui kaki lima kelas 4 Mercury.

"Pandang kelas kami pun cikgu tak sudi," terngiang-ngiang kata-kata Amanda Sofea. Ada getaran nada telefon dari tas tangan Rania. Rania baca pesanan yang baru masuk. Dari emaknya.

"Asyik-asyik mak. Tak adakah dari Ummar Qayyum?" ucapnya sedih.

Sedih kenangkan Amanda Sofea belum hilang, bertimpa pula rasa sedih ingatkan Ummar Qayyum. Ummar Qayyum yang sekian lama tidak mengirim berita. Rindu pada Ummar Qayyum kian memuncak. Dia sudah tahu siapa aku, siapa keluarga aku dan siapa ayah. Marahkah dia? Berasa tertipukah dirinya?

Malah lebih daripada itu, keluarga aku dengan keluarganya sudah saling mengenali sekian lama, cuma masing-masing tidak perasan. Tapi semuanya sudah tidak lagi menjadi rahsia sejak dari hari perkahwinan Rais. Malangnya waktu itu aku masih lagi berpura-pura dan cuba mengelakkan diri darinya. Bodohnya aku! Sudah terperangkap pun masih ego. Bodohnya aku!

Aku kira Ummar Qayyum sangat marah padaku. Kalau tidak masakan begitu lama Ummar Qayyum berdiam diri? Usahkan mengucap selamat pagi atau bercerita itu dan ini seperti dulu, sekadar ucapan 'hai' pun tiada kini. Merajukkah Ummar Qayyum seperti rajuknya aku? Rajuk yang aku sendiri tidak sedar.

Nama Ummar Qayyum sudah tertera di skrin telefon. Hanya menunggu butang mendail saja. Lama juga dia merenung nama jejaka yang sudah mencuri hatinya tapi akhirnya dia mengalah. Ditekan butang "off" lalu disimpan telefon dalam tas tanganya. Tak sanggup! Malu aku! Detik hatinya. Hantarlah berita Qayyum, rintihnya perlahan sejak seminggu lepas.

"Orang kementerian di office, harap maklum," suara Kak Wan membuat pengumuman mencuri perhatian sebahagian guru termasuk Rania.

"Alah, dia datang melawat tengok kita, bukan nak menyelia pun," sampuk Datin Nazari.

"Kalau nak menyelia pun, tak ada hal, silakan..." sambut Ustaz Rosman.

Rania tersenyum tengok kerenah guru-guru. Itulah terapi guru-guru di sekolah. Bergurau senda dan berjenaka bila ada masa terluang.

"Cikgu, pengetua panggil ke pejabat," suara lembut Latifah mengejutkan Rania.

"Pengetua? Kenapa?" Rania terkejut.

"Tak tahu tapi ada empat pegawai kementerian di pejabat," bisik Latifah. Kak Wan yang berdiri tidak jauh dari Rania pandang cuma.

Rania mengikut Latifah dengan belitan soalan.

"Apa pula kali ini?" Serta-merta Rania teringatkan kes Elly Sukaesih. Rania mulai trauma dipanggil ke pejabat.

Sampai di pejabat, tiada sesiapa yang dimaksudkan di sana. "Pengetua suruh bawa ke bilik mesyuarat," bisik ketua kerani.

Rania ikut saja. Pintu bilik mesyuarat bertutup. Dibuka oleh Latifah dan Rania diarahkan masuk. Terkejut Rania apabila melihat empat orang pegawai kementerian sedang duduk bersama pengetua. Sebaik saja Rania masuk, dia diarahkan duduk.

"Encik Muhyiddin boleh pergi ya," arah seorang daripada pegawai yang berkot dengan sopan.

Encik Muhyiddin nampak terkejut tapi dia akur. Sebelum keluar dari bilik mesyuarat, Encik Muhyiddin pandang Rania.

Tinggal mereka berlima. Seorang daripada pegawai berkenaan memperkenalkan dirinya dan tiga lagi rakan sejawatan. Rania angguk tanda hormat. Yang bernama Zahid Yusof memaklumkan tujuan mereka bertemu Rania. Terkejutnya Rania bukan kepalang sampai beberapa kali ditelannya liur. Rasa kelat menjalar hingga ke perut.

"Maaf encik. Saya ingat kes Elly Sukaesih dah selesai. Saya dah buat apa yang diarahkan oleh majikan saya."

"Tak apa cikgu. Ini hanya prosedur biasa. Kami hanya ingin tahu cerita tersebut daripada mulut cikgu sendiri," kata Zahid Yusof manakala seorang pegawai wanita bernama Juita menghampiri Rania lalu diletakkan perakam suara di hadapannya.

Dirinya bagai pesalah yang sedang disoal siasat oleh detektif dalam filem lagaknya. Apa hal semua ini? Apa salah aku? Mulalah bermacam-macam fikiran timbul. Adakah Puan Wan Sharwin tetap membawa kes tersebut ke atas? Kalau tidak macam mana orang kementerian tahu. Ataupun ayah? Ah, mustahil. Aku tak pernah maklumkan ayah. Ayah tak perlu tahu. Masalah kecil begini, biar aku sendiri yang menyelesaikannya.

"Silakan cikgu, boleh cikgu cerita. Kami akan buat laporan daripada cerita yang kami dengar daripada cikgu." Encik Yazid yang agak muda telah bersiap sedia di hadapan komputer riba. Rania pandang mereka dengan pandangan pelik.

"Jangan bimbang cikgu," Puan Juita memujuknya, meyakinkan Rania bahawa semuanya dalam keadaan terkawal.

Dalam tanda tanya, Rania menceritakan satu persatu apa yang berlaku.

"Cikgu ada panggil pelajar perempuan 'betina'?" tanya Puan Juita.

"Betina?" Rania menggeleng. Dia rasa pelik. Seingatnya tak pernah sekali pun perkataan betina digunakan untuk memanggil pelajar. Hatinya bagai disiat-siat.

"Pontianak?"

Dalam pandangan sayu Rania menggeleng. "Tapi saya ingat seorang budak lelaki yang menyebut perkataan tersebut."

"Macam mana timbul perkataan pontianak tu?"

"Selepas saya tegur Elly Sukaesih supaya jaga tingkah laku dan jangan menjerit-jerit dalam kelas."

"Bagaimana pula dengar Marisa Afira?"

Terkejut Rania mendengarnya. Kes Marisa Afira berlaku tahun lepas sewaktu dia di tingkatan 3 Pluto. Mengapa muncul sekarang. "Marisa Afira? Saya kurang faham," Rania berterus-terang.

Pegawai-pegawai saling berpandangan.

"Maafkan saya tuan-tuan dan puan. Boleh saya tahu kenapa saya dipanggil dan disoal siasat begini?"

"Cikgu jangan bimbang. Ini hanya prosedur biasa. Kami terima laporan dari pihak penjaga dan sebagai pegawai yang dipertanggungjawabkan, kami menyiasat. Kami tidak boleh menerima bulat-bulat laporan daripada pihak penjaga."

Rania terkulat-kulat. Kes Marisa Afira sudah selesai. Kes Elly Sukaesih pun sudah habis. Apa masalahnya lagi? Aku telah pun memohon kemaafan pada seluruh kelas atas kesalahan yang tidak aku lakukan. Aku telah ditukarkan ke kelas 4 Jupiter menggantikan kelas 4 Mercury yang mana pelajarnya tidak sudi menerima aku. Aku telah menurut perintah dan akur dengan kehendak sekolah. Apa lagi? Apa lagi yang mereka belum puas hati.

"Cikgu jangan bimbang," pujuk Puan Juita yang berwajah keibuan. "Kami hanya mahu cikgu bercerita dan kami sudah menaip laporannya. Seperti yang kami sebut, ini hanya prosedur biasa."

Ikutkan hati, memang rasa panas tapi melihat kelembutan dan kemesraan pegawai pendidikan, sejuk sikit rasa jiwa yang mulai membara. Rania menjawab apa saja yang ditanya. Selesai soal siasat pegawai pendidikan, Rania dilepaskan.

"Maaf cikgu, ambil masa cikgu," ucap Encik Zahid Yusof manakala yang lain anggukkan kepala tanda hormat. Sebaik saja Rania masuk ke bilik guru, dia dihampiri beberapa teman sejawat. Dijawabnya tanpa berselindung.

"Belum habis? Akak ingat dah selesai," komen Datin Nazari.

Kalau teman sejawatan boleh berfikir kes itu sepatutnya sudah selesai, Rania rasa agak lega. Tak salahlah aku berfikiran serupa. Pulang ke rumah, Rania rasa penat bukan kepalang. Direbahkan tubuhnya di atas sofa lembut di ruang tamu utama. Ternyata tekanan dan stres memberi impak yang besar pada fizikal. Dia berasa lelah. Lelah tubuh badan, lelah minda, lelah emosi. Rasa seluruh tenaganya diperah tatkala ditelanjangi dengan kes-kes sedemikian. Selama di Sabah tak pernah aku dihukum sedemikian. Rania menyimpang lengan di dahi.

"Ren, kenapa ni?" tanya emak sambil duduk di tubir sofa lebar tempat Ren berehat. Diusap-usapnya kepala Rania.

"Temankan mama makan."

Tanpa banyak soal, Rania menemani ibunya menjamu selera. Apabila ibunya memaklumkan bahawa kakaknya Rindu mengidam memakan masak tempoyak ikan patin dari air tangannya, cepat saja Rania menyanggupi.

"Petang nanti Ren turun. Ren nak naik atas. Nak solat, lepas tu nak tidur," kata Rania.

Dalam kamar besar yang mewah dan selesa, Rania kesunyian. Dia menyelimuti tubuhnya di bawah gebar. Tidak ada siapa yang tahu apa yang dilalui hari ini.

Hal disoal siasat orang kementerian terasa tidak seberat bebanan yang dipikul bila memikirkan tentang Ummar Qayyum. Sepinya Ummar Qayyum rupa-rupanya memberikan tamparan hebat padanya. Diam Ummar Qayyum membuatkan Rania resah. Marah sangatkah dia padaku? Rania merenung saja telefon bimbitnya.

Akhir-akhir ini, dia berasa begitu sunyi dan kehilangan. Selalunya pulang-pulang sekolah begini, Ummar Qayyum sering menghantar pesanan, mengusik dan membuainya dengan kata-kata yang sering membuatnya ketawa sendiri. Kenangan lalu terakam. Di Planetarium, di pantai Bagan Lalang, waktu solat hajat, masa Mesyuarat PIBG!

"Qayyum, maafkan aku! Hubungi aku Qayyum, akan aku berterus-terang denganmu!" bisik Rania dalam kepenatan.

Selimut ditarik. Matanya ditutup sebab dia tidak mahu mengingati apa-apa. Tidak pernah dia berasa takut dan gementar seperti itu. Dia tertidur dalam harapan dan terjaga bila namanya dipanggil.

"Mama," Rania mendengus. Tutup mata kenang Ummar Qayyum. Celik mata pun teringat Ummar Qayyum? Aduh! Dia mengeluh perlahan.

"Kata nak masak," Puan Sri Zalia ingatkan Rania.

Rania bangkit. Dilihat jam di meja sisi. Pukul 5.15 petang. Selepas mengerjakan solat Asar dia turun ke bawah. Kak Rindu masih belum pulang. Mama di ruang tamu keluarga, sedang bercakap dengan seseorang di telefon. Rania terdengar namanya disebut mama. Farhankah yang menelefon? Ah, tak kuasa. Di dapur Mak cik Rohaya setia dengan tugasannya.

"Dah nak masak Ren? Semua dah mak cik siapkan."

Sebaik saja Rania memasukkan kepingan ikan patin dari Sungai Pahang masuk ke dalam periuk, ibunya muncul.

"Ren, ada tamu."

"Siapa? Farhan ke?" Air muka Rania berubah tapi dia pantas bergerak ke pintu masuk utama.

Demi terpandang sesusuk tubuh, langkah laju Rania terhenti.

"Cantik apron! Tengah masak?" tanya lelaki segak dengan senyum yang sangat menawan.

Rania tidak terkata. Hendak menangis, hendak ketawa, hendak tersenyum, hendak marah semua ada. Malah semuanya bergumpal jadi satu.




Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker