Langkau ke kandungan utama

[Novel Bersiri - Cikgu Rania (Siri 20)]: Rindu Di Celahan Batu-batu Kerikil

“I dah agak you pandai masak,” pujian Ummar Qayyum membuat hati Rania kembang. Terlebih kembang ialah hati ibu Rania yang sejak kehadiran Ummar Qayyum tak lekang dengan senyum.
Gembira benar menerima kehadiran lelaki segak yang lengkap dengan pakej
menarik. Paling mempesona, datangnya bersama sejambak bunga.

“Ummar Qayyum jauh lagi hebat daripada Farhan,” meleleh-leleh pujiannya tumpah untuk Ummar Qayyum.

Rania menjuih. Ah, jauh panggang dari api nak dibandingkan dengan Farhan, detik hati Rania tapi sengaja disimpan sendirian. Kalau sedikit dipuji Ummar Qayyum, melambung-lambung pula pujian daripada ibunya.
“Macam mana Ren kenal abang Qum Qum?”

“Mama, boleh tak jangan panggil nama tu.”

“Okey, okey. Macam mana Ren kenal Qayyum?”





Puan Sri Zalia siap berteleku di hadapannya mahu mendengar cerita awal perkenalan Rania dengan Ummar Qayyum.

“Tak ingatlah mama.”

“Ceritalah, mama tengah seronok ni.”

Jadilah Rania penglipur lara buat seketika. Meskipun cerita yang disampaikan hanyalah cerita yang suam-suam kuku sahaja namun tetap membahagiakan Puan Sri Zalia. Pulang saja Tan Sri Razlan dari pejabat, terus diperihalkan tentang kehadiran Ummar Qayyum. Teruja benar dengan kehadiran Ummar Qayyum.

“Tak lama lagi giliran Rania pula,” Puan Sri Zalia memasang angan-angan.

“Mama, boleh tak mama jangan lebih-lebih.” Rasa tidak selesa mulai membenih.



Muncul kerut di dahi Puan Sri Zalia mendengar ungkapan Rania. “Heh, kena siap awal-awal. Mama tak mahu majlis Ren nanti kelam-kabut macam majlis Rais hari tu.”

“Tak ada apa yang kelam-kabut, semua okey. Sikit-sikit tu adatlah,” Tan Sri Razlan menyampuk.

“Ya ma, tak ada yang kurang majlis abang Rais. Semua perfect,” Rania bersetuju dengan kata-kata ayahnya.

“Hissh. Mama nampak banyak yang tak kena masa majlis Rais itu hari. Mama dah buat post-mortem dengan Kak Rindu. Kak Rindu dah janji dengan mama, kahwin Ren nanti, dia akan balik sebulan.”

Malas bertekak dengan ibu, Rania membiarkan sahaja ibu memasang angan-angan. Namun, yang menimbulkan tanda tanya, walaupun beberapa kali juga Ummar Qayyum mengunjungi Rania selepas makan malam tersebut, lelaki itu tidak sedikit pun mengungkit peristiwa terserempak di majlis Rais.

Dia berlagak macam biasa seolah-olah ‘peristiwa’ itu tidak pernah berlaku. Bila ditanya Rania tentang Rais, dijawab sekadarnya malah tidak langsung disinggung tentang latar belakang Rania. Rania menunggu soalan daripada Ummar Qayyum namun hampa. Kerana ingin membuat penjelasan, akhirnya dia yang bertanya.
“I ingat you akan tanya I sesuatu.”

“Tanya apa?”

“Lepas kita terserempak di majlis perkahwinan abang Rais! I fikir you akan tanya kenapa I rahsiakan tentang latar belakang diri I,” serkap Rania lagi.

“Sebab I yakin you ada alasan yang kuat untuk berbuat demikian,” Ummar Qayyum sedut teh o ais limau.

“Agak-agak alasan apa?”

“I tak tahu dan I kira itu hak you.”

“You tak tanya kenapa I rahsiakan?

“Macam I kata mesti you ada alasan kan?” Mata redup Ummar Qayyum merenung Rania.

Rania tetap diulit pelbagai persoalan. “Tak terkejut jumpa I di situ?”

“Jumpa you tak terkejut. Boleh saja terserempak di mana-mana. Tapi dapat tahu you adik Rais dan anak kepada Tan Sri Razlan yang buat I terkejut,” Ummar Qayyum berterus terang.

“I minta maaf kerana tidak berterus-terang.”

“Tak apa. I rasa I dapat agak kenapa you sembunyikan status you. Kalau I duduk
di tempat you, barangkali I buat perkara yang sama.”

Lapang rasa dada Rania mendengar penjelasan Ummar Qayyum. Bermakna dia tidak pernah marah atau merajuk padaku. Kalau begitu, kenapa dia harus menyepikan diri agak lama?

“I nak beri you ruang masa,” sahut Ummar Qayyum bila ditanya.

“Seminggu you senyap sepi membuatkan I rasa sangat bersalah.”

“I ingat you happy. I sengaja memberi ruang pada you.”

“Ruang?”

“Ruang untuk you lebih bersedia jumpa I. Agak-agak you dah ‘cool’, I ziarah you dengan sejambak bunga.”

“I terkejut.”

“Ya, I pun, terkejut tengok you dengan apron. Nampak manis dan bersahaja. Tak sangka anak Tan Sri pun cekap dan hebat memasak,” Ummar Qayyum mengenang saat itu.

Rania rasa malu dipuji begitu. Aduhai! Kalaulah Qayyum tahu, aku pun baru berjinak-jinak di dapur. Barangkali mahu jadi sehebat Murni. Ya, Murni! Murni yang disebut Ashraf Daniel - pandai memasak.

“I minta maaf main pergi ke rumah you tanpa izin.”

“Mama kata you dah inform dia.”

“Ya, nak pastikan you ada di rumah. To ‘surprise’ you.”

Memang aku terkejut malah begitu bahagia sekali menerima kedatanganmu Qayyum. Aku sudah lemas dalam kerinduan dan rasa bersalah yang tidak bertepi dan kau datang dengan seperahu cinta lalu membalingkan pelampung rindu padaku. Dengan sejambak bunga wangi yang mengharumkan lagi perasaanku padamu. Itu antara saat-saat yang sangat membahagiakan aku.

“Harap you suka bunga-bunga tu.”

“It was so sweet.”

Ummar Qayyum tersenyum. “Alhamdulillah, I dilayan baik oleh you dan mama you.”

“You kan tetamu.”

“How’s your mom?”

“Dia okey?”

“Dia suka I?”

Bukan sahaja suka bahkan tak henti-henti memujimu Qayyum. Habis dijajanya cerita kita berdua bukan sekadar di Malaysia malah talian telah pun sampai ke Melbourne dan United States. Kerana itu, Kak Rindu dengan Abang Ridzuan tak henti-henti mengusikku melalui SMS.

“Kurang suka?” tanya Ummar Qayyum lagi tatkala Rania dilihat diam sejenak.

“Bolehlah...,” Rania berpura-pura.

“Bolehlah? Maknanya cukup makan saja? Ah, barangkali I belum betul-betul dapat menawan hati anak gadisnya,” Ummar Qayyum merendah diri.

“Well...,” Rania jual mahal.

“Atau I kena datang dengan cincin sekali kot,” seloroh Ummar Qayyum.

Merah jambu muka Rania diusik begitu.

“Boleh?”

“Bila?” Dalam segan, Rania bertanya balik.

“Bila you dah bersedia. Tapi sebelum tu, I nak bawa you jumpa emak I. Dia tinggal di kampung. I belum cerita lagi pada emak I siapa you. I rasa dia mesti gembira kalau tahu.”

“Murni masih duduk dengan mak you?” tanya Rania tiba-tiba.

Berubah air muka Ummar Qayyum.

“Murni? Mana tahu tentang Murni?”

“Few times you sebut nama dia. Acap pun pernah sebut.”

“Owh, dia dah duduk dengan abang dia di Chenor.”

Ingatan Ummar Qayyum menjunam mendadak kepada Murni. Gadis yang dikecewakan. Kasihan dia! Masih terbayang wajah basah Murni tatkala dijelaskan duduk perkara sebenar. Air matanya, esak tangisnya, aduh, kan lebih baik kalau hal Murni tidak dibangkitkan kala ini. Kala aku bersamamu Rania.

“Dah tak duduk dengan emak you?” gesa Rania.

Hanya gelengan kepala sahaja yang mampu Ummar Qayyum isyaratkan. Daripada cerita ibunya, Murni akan terus menetap di sana. Sesekali saja dia datang menziarahi emak. Tidak lagi seperti dahulu. Siap berumah tangga di Kampung Daun Pisang. Menjadi penunggu emak pada setiap masa malah dia juga sanggup menemani emak menghadiri kenduri-kendara atau majlis orang-orang kampung.

Berkali-kali juga emak luruhkan rasa sunyi sejak ketiadaan Murni. Berdetik juga rasa hati bila tiba-tiba nama Murni disebut Rania. Rasa bersalah!

“Seingat I, Acap kata dulu dia temankan emak you. Kenapa dia duduk dengan abang dia pula?” tanya Rania tanpa prasangka.

“Abang dia ajak, minta tolong jaga anak-anak saudara,” dalih Ummar Qayyum.

Mudah sahaja ayat-ayat itu terluncur dari mulutnya. Cerita palsu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu Rania tahu. Barangkali Rania juga akan jadi serba-salah kalau kisah Murni hinggap di telinganya. Siapa tahu? Lebih baik Rania tidak tahu langsung.

“Maaf kalau pertanyaan I you tak suka,” dalam lurus bendulnya, Rania terpanah sekilas perubahan di wajah Ummar Qayyum.

“Khamis nanti mesyuarat PIBG, jangan lupa,” sengaja Ummar Qayyum ubah topik perbualan.

Rania sedar itu tapi disimpan dalam hatinya sahaja. Jauh di sudut hati dia mahu tahu tentang Murni seperti mana dia mahu tahu tentang Ros Ilyani dahulu. Perlukah? Dia bersoal-jawab sendiri. Sehingga mahu pulang, rasa ingin tahu tentang Murni makin galak sehingga tanpa sedar dia berkata sesuatu tentang Murni sebelum berpisah:

“Satu hari kenalkan I dengan Murni ya!”

Rania dan beberapa orang guru sudah berada di dalam bilik mesyuarat sewaktu dia sampai. Hidangan petang juga juga sudah tersedia di meja belakang. Hampir setengah jam juga mereka menunggu sebelum ahli jawatan kuasa PIBG yang terdiri daripada para ibu bapa tiba termasuk Puan Wan Sharwin, yang paling lambat.

Melihat kelibat Puan Wan Sharwin masuk, Razalina cuit Rania.

“Dia lambat setengah jam.”

“Dia orang besar. Orang kuat kementerian,” kiasan Rania membuahkan senyum sinis pada Razalina.

Mesyuarat pertama dimulakan dengan ucapan Tuan Haji Muhyidin, pengetua SMK Seri Melor yang mengalu-alukan ahli jawatan kuasa baru bagi tahun tersebut seraya mengucapkan tahniah kepada AJK lama yang masih diberi mandat untuk terus berkhidmat. Tidak lama ucapannya sebelum YDP PIBG baru iaitu Datuk Dr Zainal Aqil pula berucap.

YDP baru menegaskan bahawa tidak banyak perubahan yang mahu dilaksanakan. Dia lebih senang meneruskan program yang telah pun dimulakan oleh AJK terdahulu termasuk dalam pembahagian ahli kepada biro-biro tertentu. Rania memberi perhatian yang sepenuhnya apabila YDP menyentuh tentang biro infrastruktur. Dia diletakkan di bawah biro tersebut dengan Dr Husam sebagai ketua biro.

“Saya telah meneliti minit-minit mesyuarat terdahulu dan saya dapati pembinaan surau belum menampakkan apa-apa hasil padahal cadangan pembinaannya telah pun dipersetujui sejak lima tahun yang lalu,” cuit Dr Husam yang kelihatan sangat serius membawa isu tersebut.

“Memang banyak masalah yang kita hadapi antaranya ialah untuk mendapatkan kelulusan tanah di sebelah sekolah ini,” Tuan Haji Muhyidin membelek sebuah fail.

“Memandangkan sekolah tiada surau, di mana pelajar-pelajar bersolat?

“Kita ada sebuah bilik di blok belakang dan kita jadikan surau untuk para pelajar perempuan. Yang lelaki selalunya mereka bersolat di sudut dewan yang memang kami dah khaskan untuk pelajar lelaki solat.”

“Tapi dua-dua bilik tu sangat kecil Tuan Haji, tak mampu nak menampung lebih daripada 20 pelajar pun,” Rania bersuara.

“Saya belum tengok keadaan surau tu lagi, Insya-Allah sebelum mesyuarat kali kedua nanti, saya akan luangkan masa untuk tengok keadaan surau.”

“Saya rasa ada baiknya pembinaan surau didahulukan kerana usulnya dah lama dibawa dalam mesyuarat. Sebenarnya sejak tahun lepas lagi saya tegaskan dan barangkali tahun ini kita boleh merealisasikan pembinaannya. Sekurang-kurangnya kita sudah kenal pasti tapak surau,” sampuk Ummar Qayyum.

“Di mana tapak yang dipohon oleh pihak sekolah?” Datuk yang baru memegang jawatan YDP masih terkial-kial.

“Di tanah kosong antara bangunan sekolah dengan kawasan perumahan,” jelas Tuan Haji Muhyidin. “Masalahnya pihak majlis perbandaran susah nak luluskan tanah tersebut.”

“Dalam kawasan sekolah tak ada tanah yang boleh kita manfaatkan?”

“Kita juga ada perancangan untuk bina surau di tanah belakang berhampiran dengan makmal pertanian sekiranya permohonan untuk mendapatkan tanah simpanan kerajaan tak dapat. Itu pelan B kita.”

“Dah berapa lama tunggu kelulusan tanah sebelah?”

“Hampir lima tahun.”

“Kalau begitu, apa kata diteruskan dengan pelan B - binaan di atas tanah kawasan sekolah. Makin lama ditunggu, makin tertangguh projek binaan surau tersebut,” putus Datuk Dr Zainal Akil dengan tegasnya.

“Maafkan saya. Saya difahamkan pihak PIBG tahun lepas sedang membesarkan bilik gimnasium dan saya juga difahamkan peruntukan untuknya dah ada. Saya fikir lebih baik kita dahulukan projek yang dah mula. Itu juga di bawah biro infrastruktur,” sanggah Puan Wan Sharwin tiba-tiba.

“Gym di bahagian mana?” tanya Dr Husam.

“Di sebelah blok D.”

“Dah ada?” tanya Datuk Dr Zainal Aqil.

“Dah.”

“Kalau dah ada, kita dahulukan yang belum ada.”

“Buat apa nak ditangguhkan projek gym tu, kita dah ada peruntukan.”

“Kalau projek surau belum dimulakan, eloklah kalau kita yang bangunkan. Saya rasa budak-budak perlukan surau lebih daripada gym,” pandangan dilontarkan oleh Ummar Qayyum.

“Budak-budak juga perlukan gym yang lebih besar. Waktu Pendidikan Jasmani, kemudahan sukan tak cukup, berebut-rebut. Gimnasium digunakan dalam masa Pengajaran dan Pendidikan. Kita semua kena faham,” tekan Puan Sharwin.

“Maafkan saya mencelah,” sampuk Rania berani. “Untuk pengetahuan semua, saya selalu tengok para pelajar bersolat di surau. Surau memang sempit dan ada ketikanya pelajar terpaksa menunggu giliran agak lama waktu bersolat. Saya kira mendahulukan surau lagi afdal.”

Berdesing telinga Puan Wan Sharwin mendengar suara bantahan tersebut. Makin menyinga bila dilihat yang bercakap itu ialah Rania, guru muda yang selalu jadi topik penceritaan anaknya.

“Kita siapkan yang dah ada dulu, pelan pembesaran gym pun dah diluluskan.

Lepas tu baru kita fokus pada surau,” sambung Puan Wan Sharwin. Suaranya bernada perintah.

Melihatkan keadaan agak tenang, Tuan Haji Muhyidin mencelah dengan mengatakan bahawa mereka kesuntukan masa. Mesyuarat ditangguh dan isu yang dibangkitkan akan dibawa ke mesyuarat akan datang.

“Baru mesyuarat pertama, dah macam ni,” Razalina berbisik semasa mereka berkemas.

“Tunggulah mesyuarat-mesyuarat akan datang,” Rania masukkan botol air mineral yang tidak berusik ke dalam kotak. Tinggal mereka bertiga mengemas dan memastikan bilik mesyuarat berkemas dan ditutup sebelum pulang.

“Tak faham saya,” bisik Cikgu Wan. “Orang nak surau dulu, dia nak gym.”

“Tak hairanlah, kak tengoklah badan dia, sihat,” sindir Idani. Rania tergelak kecil.

“Heh, tak baik gelakkan orang,” tegur Razalina.

“Dah umur macam tu, patutnya buat suraulah,” bidas Idani lagi.

“Moden,” sahut Kak Wan selamba. “Sebenarnya dia ada kumpulan aerobik dia. Besarkan gimnasium di sini, bolehlah dia tumpang semangkuk.”

“Tak kisahlah, dia nak tumpang sepuluh mangkuk pun, tapi yang wajib tu patut didahulukan. Kasihan budak yang nak bersolat.”

“Akan datang mesyuarat, kita kena sokonglah pembinaan surau dulu.”

“Saya setuju kak, saya dah merasa macam mana solat berhimpit-himpit.”

“Duit banyak tapi surau pun tak terbina,” rungut Idani. Dia sibuk pandang jam. “Pukul berapa nak balik? Lambat nanti kena bebel dengan suami I.”

“Pergi balik dulu Idani, awak ada anak kecil,” arah Kak Wan. Mendengar itu, segera saja Idani pergi.

Di tempat parkir, kereta Tuan Haji Muhyidin masih ada. Kereta Jaguar milik Ummar Qayyum pun masih tersadai di situ.

“Belum balik dia!” bisik Rania sendiri.


Oleh Samsiah Mohd Nor
Sumber: Metro

Terima sudi baca entri ni. Sayang korang.
Anything can happen, that why life is wonderful. Struggle to get what u aim but be sure don't hurt any one. No one you shouldn't hurt their feels!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantang Larang dan Makanan Orang Demam Campak

Air kelapa sangat bagus untuk demam campak Nak jaga pemakanan orang demam campak? Ok, aku ada petua dan tipsnya. Segala yang tertulis di sini adalah keluar dari kepalaku, dan pengalamanku menjaga makanan orang demam campak. Ku abadikan di sini. 1. Tidak boleh menggoreng Demam campak ni kita tak boleh nak goreng apa-apa makanan terutamanya guna minyak. Contohnya goreng ikan. Menumis pun tak boleh tau. Sebab apa tak boleh? Sebab ia akan merangsang pertumbuhan campak dan buat ianya kemerah-merahan. 2. Elakkan makanan laut yang gatal Makanan laut, seperti udang, sotong, kerang elok la dikuarantinkan.. Haha~ Bukan kuarantin la tapi jangan makan makanan tu, k. 3. Elakkan yang pedas Cili pun tak boleh makan sebab mengundang kegatalan. Aku ada baca, sup ayam ni bila dibuat sup akan mengeluarkan satu pati yang berkesan khas untuk menyembuhkan demam. Korang letak bawang merah, bawang besar dan bawang putih. Lagi sedap bawang putih tu, tak dipotong, hanya buang kulit, ba

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru

Istilah-istilah Dalam Bundle Yang Ramai Lagi Keliru, jom kita gali ilmu. Sha dapat dari kawan-kawan bundle juga. ✔ Bale – Ketul, guni atau tokol pakaian/beg/kasut dan lain-lain. Kain 100 – Baju/pakaian yang 100% kapas. Kain Samah – Baju yang diadun dengan 2 material. 50 cotton +50 polyster (poly). 3 kain – Baju diadun dengan 3 material. Cotton + Poly + Rayon. 3 suku / Raglan / 3q – Baju yang mempunyai lengan bersambung dari leher berakhir di siku. Kain sambung – Lengan baju disambung dengan lengan warna lain, contohnya Rolling Stone Tour Euro82, Iron Maiden ‘aces high’ lengan camo. Ada juga kain sambung di dada. Contohnya Hawaii bernombor. Camo – Celoreng Ringer – Baju yang mempunyai warna/getah pada hujung lengan dan leher. Kain pasir / kain bulu katu – Merujuk seluar Lee,Wrangler,Levis era 70/80/90 an. Combo – Jualan melebihi sehelai dengan 1 harga. Single stich – Jahitan satu garisan sama ada pada lengan atau bawah baju. Biasa pada baju vintage.

Tips Pakaian Untuk Konvo

Gambar konvo! =) Assalamualaikum. Apa yang korang perlu ada untuk pakai pakaian konvo? Aku ada sedikit panduan. Top to toe 1. Kasut Lelaki kena pakai kasut kulit (kulit warna gelap –seelok-eloknya warna hitam) Ala, tak mahal pun ada jer yang murah. Perempuan pula kena pakai kasut bertutup, hitam atau warna gelap seakan-akan hitam. Kasut tu mestilah nampak formal. Tak boleh ada lubang-lubang macam kasut Cinderalella. Orang perempuan mesti tau kasut Cinderalela tu macam mana. Kasut Cinderalela tu adalah kasut plastic nipis dan ada lubang-lubang.   Sila beri perhatian, kasut adalah penting. Tak boleh pakai sandal dan selipar. Stoking tak apa, kurang diberi perhatian (bagi perempuan sahaja). Boleh pakai stoking atau tidak. Lelaki kena pakai stoking. Mesti warna gelap, jangan pakai stoking putih pula, sangat pelik. Bagi mereka yang jarang pakai kasut tertutup macam aku ni, boleh juga bawa sandal atau kasut yang selesa untuk digantikan apabila perlu . Ta

Open Tracker